PENGENALAN
Manusia diciptakan oleh tuhan sebagai khalifah atau pemimpin di muka bumi ini yang diberi berbagai keistimewaan dan kelebihan dari makhluk-makhluk lain. Kelebihan dan keistimewaan ini ialah kerana manusia dikurniakan akal fikiran. Akal fikiranlah yang membezakan manusia dengan haiwan. Akal atau minda adalah sumber ilmu intelek (intellectual knowledge) yang menghasilkan pengetahuan melalui proses pemikiran dan penaakulan minda (akal).
Kemahiran berfikir telah mula diberi perhatian istimewa oleh tamadun manusia sejak zaman Socrates, 2500 tahun dahulu lagi yang juga dikenali sebagai pemikiran kritis yang merangkumi pemikiran kreatif. Dalam menjana pemikiran kritis dalam kehidupan, Socrates telah menggunakan keberkesanan soalan untuk menilai dan mempertingkatkan kebolehan menjana dan memberi buah fikiran seseorang. Sarananya juga betapa pentingnya soalan-soalan aras tinggi yang disebut sebagai ‘deep questions’ diajukan untuk menggalakkan seseorang berfikir secara kritis sebelum satu-satu buah fikiran dapat dan layak diterima pakai. Metod penyoalan Socrates yang dikenali sebagai “Socrates questioning” atau “Penyoalan Socratic” masih dianggap sebagai cara terbaik dalam pengajaran berfikir secara kritis dan kreatif dan masih banyak diamalkan hingga kini.
Ide Socrates dalam berfikir secara kritis dan kreatif telah disoroti oleh Plato (murid Socrates yang banyak membuat catatan tentang pemikiran Socrates) dan Aristotle (seorang lagi ahli falsafah Greek). Mereka dan ahli falsafah Greek yang lain menyarankan betapa perlunya manusia berfikir sebelum menerima sesuatu
Kemahiran berfikir dapatlah ditafsirkan sebagai satu proses intelektual yang melibatkan pembentukan konsep (conceptualizing), aplikasi, analisis, sintaksis, atau menilai informasi yang terkumpul atau dihasilkan melalui pengamatan, pengalaman, refleksi, pentaakulan, atau komunikasi.
Kemahiran berfikir secara kritis merujuk kepada keberkesanan seseorang dalam menggunakan minda untuk menilai kesahan atau kebaikan sesuatu ide, buah fikiran di samping membuat penilaian tentang sesuatu data atau maklumat dan kemahiran ini memerlukan kemahiran membuat analisa data atau maklumat untuk mencapai kejayaan.